PERNAHKAH anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di dinding-dinding atau langit-langit terpampang gambar warna merah jambu, ada yang berbentuk dua buah hati jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati.
Memangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menyelenggarakan pelbagai acara yang kebanyakkannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.
Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja, tetapi juga oleh para ibu bapa terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Maka penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam.
Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar dari syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti campur baur antara lawan jenis, dan perbuatan maksiat lain.
Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya terkandung aturan seluruh kehidupan manusia.Tidak ada satu pun kehidupan yang tidak diatur oleh Islam, dan setiap Muslim wajib ‘mengikat’ seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharamkan ia melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fekah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud ‘Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.’
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa: 65).
Dipos oleh nur kasih pada 01 December 2009