PENDEKATAN ILMIAH DALAM SENI SILAT CEKAK
Sebagai mukadimah dalam menangani tajuk kertas kerja ini eloklah kita sama-sama renungi beberapa sedutan yang melibatkan pernyataan-pernyataan tentang aspek yang sama berhubung kait dengan tajuk kertas kerja ini.
a) Almarhum Ustaz Hanafi dalam ucapannya sewaktu menyambut perayaan 10 tahun Cekak pada 25 Disember 1975 bertempat di dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur, berkata :
"Walaupun nampaknya sebagai perkara biasa sahaja, namun sebenarnya dengan penerimaan penuntut-penuntut tersebut menunjukkan yang Silat Cekak itu Silat Melayu yang bermutu tinggi, yang sesuai dan boleh dikaji secara akademik dan saintifik yang mana dengan ini menyebabkan penuntut-penuntut yang bernas itu dapat menerimanya dengan mudah sekali." (Halimah Hj. Ahmad, ms 89)
b) Seterusnya dalam ulasan selanjutnya :
"Kaedah-kaedah Seni Silat Cekak dapat memberikan sebab dan akibat. Ia sesuai dengan hukum akal dan sainifik sekali."
(Halimah Hj. Ahmad, ms 116)
c) Profesor Datuk Shahnon Ahmad semasa berucap merasmikan Pameran Seni Silat Cekak Universiti Sains Malaysia di foyer dewan Tuanku Syed Putra pada sidang akademik 1988/89 berkata :
"…Pada pengamatan saya, Seni Silat Cekak ini begitu analitikal dan saintifik sekali."
d) Perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menggariskan di dalam Peraturan 3 iaitu tujuan persatuan seperti berikut :
"Mempelajari dan mengkaji semua jenis silat untuk dibahas dan dijadikan bahan kajian ilmiah."
(Perlembagaan PSSCM, ms 2)
Pernyataan-pernyataan di atas dapat menggariskan sedikit sebanyak latar belakang bagi membimbing minda dalam membongkar dan seterusnya menguraikan skop perbincangan kita selanjutnya.
1. Takrif
Terdapat dua kata kunci yang perlu ditakrifkan terlebih dahulu sebelum kita dapat menyelami isi kandungan perbincangan kita seterusnya. Perkataan itu ialah pendekatan dan ilmiah.
2. Pendekatan
Mengikut Kamus Dewan Bahasa pendekatan ini bermaksud kaedah (cara, langkah-langkah dsb.) yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas (mempelajari masalah dll.).
Oleh itu dalam konteks Seni Silat Cekak, pendekatan ini merupakan cara mendekati atau kaedah yang digunakan dalam melaksanakan (mempelajari, mengajar, mendidik, mentadbir dll.) untuk mencapai matlamat sebenar Seni Silat Cekak.
3. Ilmiah
Kamus Dewan Bahasa menjelaskan maksud ilmiah sebagai sesuatu yang bersifat keilmuan atau boleh dikaji secara saintifik dan akademik serta analitikal sebagaimana yang kita boleh fahami daripada petikan-petikan pada permulaan kertas kerja ini.
4. Apakah Pendekatan yang Ilmiah dalam Seni Silat Cekak
Pendekatan menerusi penggunaan istilah dan bahasa yang tepat pada sasaran dan mempunyai makna yang mendalam.
Istilah-istilah dan makna bahasa yang digunakan khususnya istilah pokok seperti istilah 'Guru Utama', 'tempat latihan', 'ilmu batin' dan lain-lain lagi yang digunakan secara rasmi oleh Seni Silat Cekak menggambarkan kajian bahasa yang mendalam telah dibuat. Hal ini berlaku kerana pengasas Seni Silat Cekak ia itu Almarhum Ustaz Hanafi juga merupakan seorang pakar bahasa.
"Selain daripada menjadi Guru Utama Seni Silat Cekak, beliau pada masa yang sama adalah seorang nasionalis Melayu muslim yang bukan sahaja seorang ahli falsafah yang bijaksana serta pemimpin masyarakat tetapi juga ahli dalam aspek bahasa dan budaya."
(Perayaan 21 tahun Cekak, 1987. Keluaran khas)
Pada suatu ketika dahulu kebanyakan Silat Melayu menggunakan istilah "Mahaguru" kepada gurunya, tetapi Seni Silat Cekak menggunakan istilah "Guru Utama". Sebenarnya perkataan "Maha" ini tidak sesuai digunakan untuk seorang manusia yang bersifat baharu dan lemah, malahan dalam konteks persilatan sekalipun ia tidak tepat kerana membawa maksud guru kepada semua guru silat. Berdasarkan kepada makna bahasa dan konteks silat, istilah Guru Utama yang digunakan oleh Silat Cekak adalah yang paling sesuai sekali kerana ia membawa maksud ketua kepada semua guru di dalam sebuah perguruan silat. Dalam Seni Silat Cekak, Guru Utama menggambarkan satu-satunya guru yang memimpin dan mengetuai organisasi persilatannya.
Satu lagi contoh penggunaan istilah sebagai satu pendekatan ialah penggunaan istilah "tempat latihan" atau "kelas" merujuk kepada "gelanggang" silat. Berdasarkan kepada makna bahasa, istilah gelanggang ini membawa merujuk kepada permainan atau sukan seumpama gelanggang tenis dan digunakan untuk bertarung, sedangkan yang sebenarnya berlaku ialah belajar dan mengajar bersilat. Oleh itu istilah tempat latihan atau kelas adalah lebih tepat digunakan.
Banyak lagi contoh-contoh bagaimana bahasa dan istilah yang digunakan oleh Silat Seni Cekak sama ada oleh para pemimpin dan pendukungnya menpunyai makna yang tepat dan merujuk kepada keunggulan matlamatnya. Sehingga perkataan yang menbentuk nama Seni Silat Cekak sendiri boleh dikupas dari segi asas bahasa dan pegertiannya. Hal ini menunjukkan terdapatnya kajian bukan sekadar ikut-ikutan atau andaian yang tidak berasas dalam Seni Silat Cekak.
Pendekatan menerusi bahasa dan istilah sebenarnya amat mustahak dalam melahirkan dan menyampaikan sesuatu wawasan khususnya kepada cerdik pandai yang sentiasa berfikiran kritikal.
5. Pendekatan menerusi konsep dan falsafah yang dibawa oleh Seni Silat Cekak
Seni Silat Cekak mengutarakan konsep dan falsafah silat yang bernas serta selari dengan prinsip dan akidah Islam. Konsep dan falsafah Silat Cekak merupakan satu pendekatan yang amat berkesan dalam "mencelikkan mata hati" penuntut-penuntut untuk menghayati perjuangan yang dibawanya.
Sebagai contoh, konsep "berdiri lurus" ketika menunggu serangan yang dibawa oleh Seni Silat Cekak amat bercanggah dengan kebanyakan ilmu bela diri lain yang menggunakan "kuda-kuda". Konsep berdiri lurus yang dianjurkan oleh Seni Silat Cekak membawa maksud orang yang mempunyai pendirian (pegangan hati) bukan sekadar berdiri cara ini pada zahirnya mempunyai kelebihan kepada pengamalnya apabila diserang musuh. Alasan berdiri lurus merupakan pendirian normal "manusia" juga tidak dapat disangkal kerana ia lebuh stabil dan merupakan pendirian yang tidak mencabar malahan merendah diri atau sebagai "resmi padi".
Konsep mempertahankan diri yang dianjurkan oleh Seni Silat Cekak iaitu hampir 99% mata pelajarannya dalam bentuk "mempertahankan diri" dan hanya 1% sahaja menyerang, itu pun pada penghujung pelajaran iaitu setelah tamat sekiranya dikaji dari sudut pendidikan mempunyai banyak kebaikannya. Konsep ini sebenarnya mendidik pelajar menjadi berani bukannya garang, kerana berani itu sifat "insan", garang serta suka menceroboh itu sifat "haiwan". Oleh itu sifat yang mengajar muridnya menyerang dahulu pasti akan melahirkan pesilat yang bersifat negatif seumpama suka mencari gaduh dan sombong diri.
Falsafah silat "pakai tak pakai, tak pakai pakai" lahir setelah penuntut Seni Silat Cekak sampai ke akhir peringkat buah potong ialah satu pendekatan yang menghendaki pengamalnya sentiasa menggunakan akal yang waras yang dikurniakan oleh Allah bukan semata-mata mengikut hawa nafsu.
Terdapat banyak lagi pendekatan menerusi konsep dan falsafah silat yang dibawa oleh Seni Silat Cekak yang lazimnya akan dijelaskan oleh Jurulatih atau Guru Utama apabila tiba peringkat pelajarannya. Umpamanya konsep "tamat dan enam tolak enam", "makan gerak dalam gerak", " mara ke hadapan dalam gerak yang satu" dan lain-lain lagi. Kesemua pendekatan ini sama ada yang ditanamkan menerusi persilatan secara formal atau secara tidak formal menerusi percakapan, contoh perbuatan dan kiasan khususnya oleh Guru Utama amatlah ilmiah dan perlu kajian mendalam untuk mengetahui apa yang tersurat dan yang tersirat.
6. Pendekatan menerusi sistem pelajaran yang rapi dan terkawal
Sistem pelajaran Seni Silat Cekak telah digubal sebegitu rupa agar proses pengajaran dan pembelajarannya lebih menekankan aspek "membimbing" daripada "menghukum" dan dilakukan secara "berhikmah" tanpa disedari oleh penuntutnya.
Mata pelajarannya disusun agar penuntut dapat memahami secara berperingkat- peringkat sepertimana sistem akademik yang lain. Pelajarannya juga diajar sehingga ke peringkat tamat dan tahu menggunakannya dalam tempoh yang telah ditetapkan kerana sekiranya pelajaran tiada penyudah maka bercanggahlah dengan akal kita sendiri. Kalau belajar akademik di universiti pun ada tamatnya iaitu sehingga mendapat ijazah pertama, kedua atau sehingga ke peringkat doktor falsafah. Sekiranya belajar silat sehingga lima tahun pun tidak dapat tamat maka tidaklah munasabah.
Dalam usaha untuk mendidik penuntut-penuntutnya supaya mengenang jasa, Seni Silat Cekak telah menerapkan tiga daripada pantang larangnya agar penuntut tidak boleh menderhaka kepada guru, ibu dan bapa. Pengasas Seni Silat Cekak, Almarhum Ustaz Hanafi pernah menjelaskan seperti berikut :
"Apabila seseorang itu sudah melatih dirinya mentaati guru dan ibu bapanya, maka peribadi dan jiwanya akan baik dan bersih. Apabila rohnya bersih maka senanglah ia menghadapi Tuhan yang Sa dan dengan sendirinya dapat menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan-perbuatan maksiat."
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran buah-buah silat, jurulatih dimestikan menyampaikan pelajaran kepada setiap penuntut, bukan hanya menunjuk dan penuntut meniru perbuatannya. Prinsip "menyampai" dan bukan sekadar menunjuk ini sebenarnya mempunyai makna yang mendalam khususnya dalam menanamkan sifat amanah dan persaudaraan. Penuntut pula dapat menerima pelajaran secara terus daripada jurulatih yang telah diamanahkan oleh Guru tanpa sebarang perantaraan.
Seni Silat Cekak menganjurkan semangat sama rata dan persaudaraan tanpa mengira darjat dan pangkat tetapi tetap mengekalkan perasaan hormat menghormati menerusi sistem pelajaran dan pendidikan yang dianjurkannya. Perbezaan yang ada daripada segi pemberian bengkung hanyalah untuk membezakan ahli biasa dan tenaga pengajar sahaja. Ahli yang telah tamat dan mampu menjaga diri semuanya memakai pakaian seragam dan bengkung yang sama iaitu pakaian berwarna biru tua dan bengkung putih sahaja.
7. Pendekatan menerusi kandungan pelajaran (pergerakan,sasaran dan kuncian)
Pergerakan Seni Silat Cekak yang kelihatannya mudah dan ringkas sebenarnya boleh dikaji keberkesanannya secara saintifik. Pergerakannya yang berdasarkan gerak-geri semulajadi manusia amat sesuai digunakan dalam apa juga keadaan pendirian asas dan sistem pembelajarannya. Hal ini terjadi kerana pergerakkan silat ini bukan diilhamkan dari gerak haiwan atau mimpi yang sentiasa bercanggah dengan pendirian asal manusia.
Seni Silat Cekak mempunyai empat kaedah asas iaitu kaedah A, B, C dan D. Dengan adanya kaedah-kaedah ini, pengamal Silat Cekak tidak perlu mengelak ke kiri atau ke kanan apabila menghadapi musuh. Dalam pergaduhan sebenar kita tidak perlu ingat kesemua buah-buahnya, memadai dengan memahirkan diri mengunakan kaedah-kaedah tangkisan dan seterusnya buah-buah pukulannya akan terjadi sendiri mengikut kesesuaian dan keadaan si penyerang. Hal ini terjadi kerana Seni Silat Cekak mengajarkan "perdu" silat yang segenggam bukannya cabang-cabang silat yang segantang.
Sasaran pukulan Seni Silat Cekak ditujukan pada kawasan anggota badan yang bahaya dan memang diakui tidak boleh dilatih menjadi lasak seperti penyawa, bawah ketiak, pelipat dan lain-lain lagi. Latihan pukulan ke sasaran bersama-sama dengan tangkisan kaedah yang dibuat "segerak" serta gerakan memintas ke belakang musuh merupakan satu kelebihan kepada pengamal Seni Silat Cekak.
Seorang penuntut Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia iaitu Saudari Noorliza Noordin Merican telah berusaha membuat satu penyelidikan tentang kesan-kesan tangkisan dan sasaran pukulan Seni Silat Cekak dari sudut anatomi manusia. Tajuk penyelidikan beliau ialah "Kaedah A dan kawasan- kawasan yang boleh dicederakan olehnya serta kesan fizikalnya." Penyelidikan ini telah pun disempurnakan pada sidang akademik 1991/92.
Kuncian dan tangkapan buah-buah Seni Silat Cekak pula begitu kemas dan lengkap serta dapat dibuktikan kekemasannya secara praktikal serta dapat disesuaikan dengan keadaan musuh yang menyerang.
Di dalam kelas, jurulatih-jurulatih Seni Silat Cekak lazimnya membuat penjelasan dengan rapi tentang kesan dan akibat daripada sasaran pukulan dan kuncian bagi memudahkan penuntut memahaminya. Alasan kepada setiap pergerakan yang tidak boleh dilakukan, kerana ia amat memudaratkan dan dikhuatiri akan mencederakan juga dijelaskan.
8. Kesimpulan
Daripada pembentangan ringkas tentang pendekatan ilmiah dalam Seni Silat Cekak dapatlah disimpulkan seperti berikut :
Oleh sebab Seni Silat Cekak itu sendiri begitu ilmiah, maka di dalamnya telah tersimpul pendekatan- pendekatan yang begitu halus yang secara kasarnya dirumuskan oleh pengarang menerusi aspek bahasa dan istilah, konsep dan falsafah, sistem pelajaran dan kandungan mata pelajarannya. Beberapa pendekatan lain khususnya pendekatan menerusi sistem pentadbiran dan organisasi, kepimpinan persatuan dan persilatan sengaja tidak dihuraikan hanya disentuh secara rambang dalam sub tajuk sahaja. Pendekatan-pendekatan dalam Seni Silat Cekak ini sememangnya telah sedia tersusun dan termuat secara langsung dalam sistem persilatannya, cara kepemimpinannya, serta dalam pentadbiran persatuan dan juga tidak secara langsung menerusi teladan, teguran dan kiasan oleh Guru Utamanya.
Akhir kata, renungilah serangkap pantun Cekak ini dan telitilah betapa ilmiahnya Seni Silat Cekak :
Silat Cekak pada lahirnya
Pengertian gerak pada batinnya
Hendaklah mahir seluruh anggotanya
Hendaklah jujur pada jiwanya.
(Ustaz Hanafi Hj. Ahmad)